ALHAMDULILLAH kita sudah hampir meninggalkan pusingan awal Ramadan 1432H yang menjanjikan rahmat buat kita yang mahu dan berusaha mendapatkannya. Esok malam kita akan melangkah ke pusingan kedua yang Allah janjikan keampunan-Nya yang Maha Luas. Insya Allah kita belum mengalah.
Syukur juga kerana terasa imarahnya masjid dan surau seluruh dunia dengan kehadiran bulan al-Mubarak ini. Waktu antara maghrib hingga usai Tarawih lah yang paling meriah di rumah-rumah Allah.
Baik lelaki atau wanita. Muda atau tua. Bujang atau berkeluarga. Masing-masing tak mahu melepaskan peluang ini.
Tetapi, ada beberapa perkara biasa kita lihat tetapi perlu diperbetulkan dalam keghairahan kita menghidupkan malam di bulan mulia ini.
Berdasarkan pemerhatian saya di surau dan masjid sepanjang Ramadan ini, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian. Berikut saya senaraikan, setakat mana yang teringat:
1) Kebiasaan yang bagusnya apabila muslimat kita rajin membawa anak yang belum baligh bertarawih sekali. Satu pujian untuk itu. Tetapi, yang biasanya kita lihat, mereka bersolat di tengah saf dengan anaknya berada di samping - yakni dalam saf yang sama. Kadang-kadang anaknya berlari meninggalkan saf, jadi berlaku lompong di tengah-tengah saf. Ini menyebabkan saf muslimat terputus.
Yang betulnya, bawalah anak-anak kita tadi bersolat di hujung saf, sama ada kiri atau kanan. Insya Allah di samping lebih selesa bagi si anak, baik juga bagi jemaah lain menjaga khusyuk.
2) Bukan semua kita dapat datang solat Isyak bersama imam di takbiratul ihram. Ada yang terlewat, masbuqlah dia. Ada yang lagi lewat, tiba masa orang sedang solat tarawih. Biasanya, yang tiba selewat ini, kita pasti akan mendahulukan solat Isyak, kan? Dan biasanya jugalah, kita memilih penjuru mana-mana dan bersolat Isyak sendirian. Usai solat Isyak sendirian, baru mengabungkan diri dalam saf tarawih.
Yang betulnya, kita berjemaah juga. Masuk dalam saf, niat mahu solat Isyak dan berjemaah bersama-sama jemaah yang sedang bertarawih. Seusai imam memberi salam, sambunglah baki solat bagi menggenapkan 4 rakaat solat Isyak kita.
3) Ini kebiasaan yang berlaku di kebanyakan masjid dan surau yang melaksanakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Kita memilih untuk solat 8 rakaat sahaja. Usai 8 rakaat, kita bercadang mengerjakan solat witir 1 rakaat sahaja. Biasa dilihat, ada yang masih kekal dalam saf sedangkan dia niat solat witir bersendirian. Selepas selesai 1 rakaat witirnya, dia bergegas keluar saf. Lagi satu lompong ...
Yang betulnya, jika mahu solat witir sendirian kerana memilih solat tarawih 8 rakaat sahaja, kita keluar dahulu dari saf dan solatlah. Itu lebih bagus supaya saf masih tersusun.
4) Biasanya, jemaah muslimat gemar membawa sejadah kecil sendiri. Sebaik masuk saf, sejadah atau alas itu kita bentang di depan kita. Biasanya, jika saf berganjak kerana mengisi lompong yang kosong, kita tak berganjak sama. Mungkin kerana kalau berganjak, sejadah atau alas itu mungkin akan jauh dari kita dan digunakan pula oleh orang lain.
Yang betulnya, anjaklah. Rapatkan saf itu lebih utama. Dan sebaiknya, di masjid atau surau yang sudah terhampar sejadah atau karpet, tak perlulah lagi kita beralas lain. Seragam lebih nampak cantik, kan?
Wallahua'lam.
Itulah serba sedikit pemerhatian saya sepanjang beberapa tahun Ramadan ini. Mana yang biasa itu, boleh kita betulkan. Dan mesti kita betulkan.
pergh~~~dasat kupasan cik silah kita mni...diam2 upenyer da menulis blog...tahniah2...bleh la singgah ag kat sini...hehehe
ReplyDelete